Wednesday, 29 October 2014

Merungkai Konflik 'Aqidah Dengan Doa

Pengalaman Mengenali Salafi vs Ash'ari



Apabila berada di peringkat pengajian tinggi, isu 'aqidah menjadi semakin hangat. Masih segar di ingatan, seorang sahabat datang mendekat dan bertanyakan sekiranya ustaz yang sedang mengajar kelas kami itu adalah daripada kalangan Ahlus Sunnah? Saya yang ketika itu mempunyai 'aqidah yang sangat suci, tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh sahabat tadi. Ketika itu, saya lebih berminat dengan ilmu tafsir & hadis. Namun keadaan menjadi lebih menghairankan, masjid di tempat saya belajar juga tidak habis-habis menghentam Wahabi.



Selang setahun, apabila saya diberi peluang ke Makkah, barulah saya faham konflik yang berlaku di antara Salafi & Ash'ari. Saat itu fokus saya mula tertumpu kepada isu-isu 'aqidah. Kenangan di mana saya menghabiskan masa berdebat di laman sosial,  menghentam puak itu & ini, memberikan 1001 kenangan manis. Hinggalah saya sedar bahawa itu bukan maqasid (tujuan-tujuan) ilmu 'aqidah diajarkan. Jika dengan belajar 'aqidah menjadikan umat berpecah-belah, itu bukan tauhid namanya!


Merindui Zaman Hanif & Naif

Setelah sekian lama bergelumang dengan hiruk-pikuk pertelingkahan di waktu siang, sesekali malam kelihatan kusam. Terbawa-bawa emosi di waktu siang. Menjadikan baran hati mengusai diri. Akhirnya malam-malam yang berlalu tidak lagi dibasahi air mata. Lama-kelamaan, hati & jiwa semakin rindukan zaman di mana 'aqidah mengajar kita erti kebergantungan dengan tuhan. Mengajar erti bagaimana 'aqidah mengeratkan hubungan.



Kita tidak diajar cap orang itu sesat, Wahabi dan sebagainya. Yang kita diajar adalah biarpun berlainan bangsa & kedudukan geografi, semua yang se'aqidah adalah saudara! Kita diajar tentang keseimbangan antara usaha hamba & kuasa tuhan. Kita diajar agar berbaik sangka dengan Sang Pencipta. Kita diajar untuk taqarrub dengan Allah dengan cara bangun malam & bermunajat (berbisik-bisik dengan tuhan). Kerana merindui zaman hanif & naif inilah, idea ini dinukil.


Falsafah Doa Merangkumi Seluruh Aspek 'Aqidah

Jika ditanya dan diberi pilihan, apakah topik utama yang perlu difahami untuk menguasai 'aqidah islamiyyah, pasti jawabnya, "cukup dengan doa". Kerana memahami falsafah yang tersirat disebalik galakan berdoa, sudah cukup untuk memberi seorang penuntut ilmu mencapai tujuan asasi mempelajari 'aqidah.

Doa merupakan instrumen yang sangat penting bagi setiap agama dalam menghidupkan hubungan di antara hamba dengan tuhan. Sebuah agama yang mendakwa bahawa penganutnya tak perlu berdoa, adalah sebenarnya bukan sebuah agama! Masakan tidak, ajaran sesat juga menuntut pengikutnya untuk berdoa kepada pemimpin mereka. Apatah lagi sesuatu yang digelar agama!



Setiap agama mempunyai tatacara berdoa yang tersendiri. Buddha misalnya menggunakan colok ketika berdoa. Hindu pula menggunakan lilin. Kristian menggenggam kedua tangan sambil duduk atau melutut. Yahudi kelihatan mereka meratib kitab sambil mengadap dinding dalam keadaan berdiri. Islam pula lazim dengan menadah tangan, walaupun ianya mempunyai khilaf dari sudut wujudnya dalil yang jelas perihal menadah tangan ini.



Apa pun keadaannya, setiap agama mempromosi doa sebagai instrumen mendekatkan diri dengan tuhan. Cuma yang unik, Islam berdoa terus kepada tuhan tanpa perantaraan. Manakala agama lain lebih cenderung melantik pihak ketiga dalam proses doa mereka. Mengapa? Kerana itulah naluri manusia. Setiap cinta perlukan respon. Oleh itu, mereka melantik pihak ketiga demi memenuhi kehendak naluri yang sentiasa mengharapkan respon daripada pihak yang mereka cintai itu.


Bidang Kuasa Allah

Islam sangat luas dalam isu doa ini. Walaupun ada sebahagian kelompok mendakwa bahawa doa beramai-ramai itu bid'ah, saya tidak mahu membawa sidang pembaca ke dalam polemik fiqhiy (permasalahan berteraskan fekah) itu sekarang. Apa yang kita akan bahas sekarang adalah bagaimana cara ingin mengukuhkan 'aqidah dengan memahami kaedah berdoa dengan tepat melalui pemahaman bidang kuasa Allah.

Apa yang dimaksudkan dengan bidang kuasa? Bidang kuasa adalah ungkapan yang biasa digunakan dalam ilmu kehakiman di mana sesebuah mahkamah mempunyai bidang kuasa yang tertentu dalam sesuatu kes. Misalnya kes penjagaan anak-anak Muslim. Maka mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah syari'ah.

Begitulah juga perihalnya dengan Allah. Tapi sebentar! Ini bukan beerti Allah mempunyai kuasa yang terhad ke atas kita. Tidak sama sekali! Maha Suci Allah daripada sifat-sifat kelemahan tersebut! Dalilnya terlalu jelas bahawa Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.



Baik, saya akan terangkan secara perlahan. Di samping dalil berkenaan Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu & juga dalil masyhur berkenaan jika Allah berkehendak sesuatu, hanya menyebut jadi, maka jadilah. Dalil-dalil umum ini juga didatangkan bersama dalil-dalil khusus. Misalnya Allah menyusun sistem suria. Allah menetapkan undang-undang nubuwwah (kenabian) dan lain-lain sistem & peraturan yang terdapat di dalam alQuran & asSunnah. Kesemua ini menunjukkan bahawa, di bawah kekuasaan Allah yang Maha Luas itu, terdapatnya sistem & undang-undang yang Allah telah tetapkan, dan sebenarnya juga adalah dalam bidang kuasa Allah. Cumanya, Allah tidak memilih untuk melanggar undang-undang tersebut sehinggalah Allah berkehendakkan sedemikian.

Ini boleh diibaratkan seperti terma & syarat jualan dalam sesebuah syarikat. Pastinya syarikat berhak membubarkan mana-mana peraturan, namun sistem yang telah sedia dirangka akan dipatuhi oleh semua ahli syarikat termasuk tuan pengarah, demi memberi balance (keseimbangan & kesinambungan) kepada pergerakan syarikat. Jika tidak, ia akan merencatkan perkembangan syarikat.

Begitulah juga perihalnya apabila Allah menetapkan sistem suria; matahari berputar, bumi berpusing, Pluto itu sejuk, dan lain-lain. Begitu juga apabila Allah mengkhususkan api menjadi sejuk untuk Nabi Ibrahim sahaja, Rasulullah sebagai khatimul anbiya' (penutup segala Nabi), dan lain-lain. Maka kita sebagai hamba biasa, kita perlulah berdoa sesuai dengan undang-undang & peraturan Allah ini. Jika ingin bermain tenis, mana mungkin raket badminton digunakan.

Apabila kita memahami falsafah & konsep ini, maka seharusnya tidak terjadi lagi kes-kes seperti menuang air ke dalam tangki minyak kereta dan berdoa agar kereta mampu bergerak. Kerana itu berlawanan dengan undang-undang kejuruteraan yang telah Allah tetapkan! Begitu juga apabila kita mengharap stickers pelekat,  baik yang didakwa berteknologi nano atau telah dijampi; jika dilekatkan di penutup minyak kereta, ia mampu menjimatkan minyak. Ini benar-benar dusta & batil! Tapi sayang,  apabila ada agamawan yang menegur hal ini, terus dilabel liberal, tidak kukuh 'aqidah dalam bergantung harap kepada Allah. Sebetulnya siapa yang rosak 'aqidahnya?! Siapa yang memanipulasi kebergantungan seseorang terhadap Tuhan,  demi untuk mendapat keuntungan cepat?!


Doa Tepat, 'Aqidah Selamat

Sungguh, Allah itu Maha Luas bidang kuasanya. Mustahil terdapat kawasan yang tidak tercapai oleh Allah. Namun apabila kita memahami konsep ini, doa kita akan menjadi lebih tepat, bahkan 'aqidah kita akan menjadi lebih selamat. Seorang yang memahami bahawa Rasulullah adalah penutup segala nabi & rasul, pastinya takkan berdoa untuk menjadi rasul. Pastinya dia akan menyedari bahawa mimpi yang meng'itiraf dia sebagai rasul adalah mainan syaitan. Walaupun dia tahu, Allah berhak menjadikannya rasul, namun itu mustahil menurut undang-undang nubuwwah yang telah Allah tetapkan.



Hanya dengan memahami disiplin ini, kita dapat menyangkal hujjah kelompok-kelompok yang tidak habis-habis memanipulasi dalil umum bahawa Allah berkuasa atas setiap sesuatu ini untuk menghalalkan perbuatan batil mereka yang bertujuan jelas mendapatkan keuntungan demi kepentingan diri. Moga 'aqidah kita terus terpelihara. Ameen. 

No comments:

Post a Comment