Monday, 27 October 2014

Memahami Bid'ah Di Luar Kotak Fekah

Laras Bahasa



Bid'ah tidak banyak dibahaskan dalam pengajian peringkat rendah. Itulah pengalaman yang kita semua lalui ketika di sekolah rendah & menengah dulu bukan? Cuma kebelakangan ini, perkataan bid'ah mula menjadi kontroversi. Mencipta satu kekecohan yang seakan-akan semua orang faham, namun hakikatnya masing-masing menggunakan laras bahasa yang berbeza.

Jika kita imbau kembali, terdapat 1 perkataan Melayu yang berbunyi bedo-oh. Tidak pasti dari loghat mana asal sebutan ini, namun bunyinya sangat mirip dengan bid'ah. Ia membawa erti, sesuatu yang tak masuk aqal. Misalnya seseorang bercerita tentang kebolehannya berjalan atas benang, lalu kawannya akan berkata, "Bedo-oh la mu ni!".

Adakah itu yang dimaksudkan dengan bid'ah dalam agama? Jawapannya ya. Bid'ah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh 'aqal' syari'ah. Namun untuk mengemaskan pemahaman ini, perlu kita kembali kepada definisi linguistik. Sepintas lalu, terdapat 1 perkataan Arab yang berbunyi ibtida'. Ia disamakan-ertikan dengan ikhtira' yang membawa maksud sesuatu yang baru atau kini dikenali dengan bahasa modennya sebagai inovasi.

Maka di manakah kedudukan inovasi di dalam Islam? Sejauh mana Allah membenarkan inovasi di dalam agamaNya?


Bid'ah Dari Kaca Mata Ijtihad

Untuk menjawab persoalan itu, kita terlebih dahulu perlu memahami ilmu ijtihad. Ijtihad atau juga boleh difahami sebagai displin yang perlu dipatuhi dalam mengeluarkan pendapat, merupakan nadi kepada perkembangan kesesuaian Islam yang dipratikkan pada zaman & lokasi yang berbeza oleh jutaan umat manusia hari ini. Tanpa disiplin ilmu ini, Islam akan dilihat tidak relevan di kawasan tertentu, atau pada waktu tertentu, dan seterusnya mati & lupus di dalam lembaran sejarah.

Pun begitu, syari'ah telah meletakkan sempadan yang jelas bagi menerangkan bahagian mana yang dibenarkan ijtihad & bahagian mana yang tidak dibenarkan ijtihad. Dalam ilmu ijtihad, ulama' membezakan antara ibadah & muamalah, antara hubungan manusia-manusia dengan hubungan manusia-tuhan, antara thawabit (perkara yang bersifat tetap) dengan mutaghaiyyirat (perkara yang terbuka kepada perubahan). Daripada sini ditapis, yang hanya dibenarkan ijtihad adalah hubungan manusia-manusia, muamalah, dan mutaghaiyyirat sahaja.



Dalam kata lain, bid'ah dalam bab-bab ini tiada masalah di sisi Islam. Misalnya jika dahulu Rasulullah tidak menaiki kereta, tidak pula seorang Muslim dilarang menaiki kereta. Jika dulu duduk di atas lantai, tidak pula menjadi satu dosa jika kita duduk di atas kerusi. Hatta kereta & kerusi tersebut dibuat oleh orang kafir! Namun yang kita nak fokuskan sekarang ini adalah bid'ah yang dilakukan dalam zon larangan syari'ah iaitu ibadah & aqidah.


Klasifikasi Bid'ah

Terlalu banyak klasifikasi bid'ah yang boleh anda temui. Kerana banyaknya klasifikasi bid'ah tersebut, 'awwam menjadi semakin keliru. Mereka beranggapan bahawa klasifikasi ini merupakan sesuatu yang absolute, mandatori, tidak boleh diubah & wajib dipatuhi. Padahal ia sebenarnya hanya sekadar ijtihad ulama', sebagai 1 inisiatif daripada mereka untuk memudahkan pemahaman masyarakat. Jadi, klasifikasi-klasifikasi ini sebenarnya boleh berubah-rubah daripada seorang sarjana kepada sarjana yang lain, mengikut kepada pamahaman mereka. Oleh itu, saya senaraikan beberapa klasifikasi bid'ah yang saya fikirkan sesuai dengan pemahaman saya.


  1. Jika dilihat dari sudut sosio-budaya. Maka kita boleh pecahkan bid'ah kepada hasanah (elok) & sai-iyyah (buruk). Kerana, tak semua inovasi dalam bab ini selari dengan ruh syari'ah. Misalnya memberi kondom percuma untuk mengurangkan kes buang anak. Ia merupakan mekanisme baru yang sangat tercela! Kerana mereka hanya menumpukan perhatian pada masalah buang anak, tapi dalam masa yang sama, menggalakkan zina!
  2. Jika dilihat daripada sudut falsafah keagamaan, maka bid'ah hanya ada 1. Iaitu bid'ah dolalah (sesat)!

Menjenguk Bid'ah dalam Agama Lain

Sebelum kita pergi lebih jauh dalam membahaskan falsafah keagamaan, kita terlebih dahulu perlu sampai kepada 1 titik persefahaman  iaitu, kita semua perlu bersetuju bahawa setiap sistem yang ada dalam dunia ini terdedah kepada bahaya penyelewengan. Sebuah syarikat yang diasaskan untuk tujuan kebajikan, akhirnya boleh bertukar menjadi syarikat yang mempromosi jenayah. Hatta kita boleh lihat beberapa jenis jemaah yang asalnya bertujuan baik, namun menyimpang dan menjadi ajaran sesat sepseti alArqam.


Begitulah juga dengan agama & kepercayaan yang ada dalam dunia ini. Semua mereka terdedah kepada penyelewengan. Contoh terdekat yang kita boleh ambil adalah agama Kristian atau juga dikenali sebagai Nasrani. Agama ini cukup indah. Nabi 'Isa 'alaihis salam yang ditugaskan untuk memimpin penganut agama ini, banyak menghabiskan masa beliau menyeru agar penganutnya melakukan kebaikan, mengeratkan hubungan sesama manusia, mempromosi kebajikan dalam masyarakat.



Namun penyelewengan demi penyelewengan berlaku. Usah cerita pada zaman Nabi 'Isa, juga letak tepi isu pemalsuan Bible. Cukup dengan kita ambil kezaliman pihak gereja dalam memanipulasi perasaan insaf & taubat para pengikutnya untuk dijadikan sebagai sumber keuntungan. Surat pengampunan dicetak dan diminta isi, dosa perlu diakui depan paderi, kemudian sejumlah bayaran dikenakan sebelum paderi memohon doa pengampunan. Fenomena ini bukan sahaja membabitkan isu harta, tapi juga 'aqidah! Mereka yang mematuhi bid'ah ini bukan sahaja kerugian wang ringgit, tapi juga kehilangan falsafah beragama iaitu, membina hubungan terus dengan tuhan, bukan melalui perantaraan pihak ketiga!

Daripada fenomena inilah kita sering mendengar perkataan-perkataan seperti infidel atau blasphemy dalam filem-filem dokumentari Kristian. Melihat kepada kerancuan bid'ah ini, akhirnya muncul seorang tokoh yang telah mengasaskan gerakan protestant. Bangkit menentang manipulasi & monopoli kelompok paderi yang tidak amanah ini. Seterusnya membuka jalan kepada orang-orang Kristian untuk menghidupkan agenda intelektualisme. Menggalakkan penganutnya berfikir. Memajukan diri & agama agar tidak dilihat bodoh & mudah ditipu lagi. Orang-orang seperti ini digelar sebagai mujaddid (reformist) dalam Islam.




Bahaya Menafikan Bid'ah

Berbalik kepada topik kita, hari ini masyarakat begitu sensitif dengan perkataan bid'ah. Hinggakan siapa sahaja yang menyebut tentang bahaya bid'ah dikira sebagai Wahabi & tidak tergolong dalam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Tahap denial syndrome (penyakit suka menafikan sesuatu) mereka semakin membarah. Akhirnya mereka cuba menghapuskan fahaman bahayanya bid'ah seolah-olah bid'ah bukanlah 1 cabang dalam cabang-cabang ilmu syari'ah.

Oleh itu, bersikap sederhanalah & dan jangan cepat melatah. Cuba teliti dan hayati dengan lebih rinci, apakah yang dimaksudkan dengan bid'ah, dan ancamannya terhadap ketulenan agama Islam. Doakan penulis berkesempatan mengupas lebih rinci berkenaan pemahaman bid'ah dari kaca mata fekah & 'aqidah.

No comments:

Post a Comment