Zaman ledakan
maklumat sudah sampai pada kemuncaknya apabila orang-orang baik mula memenuhi
ruang maya ciptaan manusia ini. Jika dahulu kita begitu takut untuk mendekati
alam maya ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus ke arah perkara-perkara
mafsadah (kerosakan), kini tidak lagi. Ia seolah satu kawajipan bagi kita untuk
mengambil ilmu-ilmu yang tidak dapat dicari dalam cetakan fizikal, tetapi
ditaip secara maya. Dengan perubahan besar ini, hari ini kita dapat lihat
laman-laman web yang memberi tips yang pelbagai, tumbuh bagaikan cendawan
selepas hujan. Petua atau nasihat-nasihat tersebut meliputi pelbagai aspek
seperti perkahwinan, pendidikan anak-anak, ekonomi, perlancongan, dan
lain-lain.
Artikel ini juga
tidak terlepas daripada konsep memberi nasihat. Namun pena kali ini cuba
melontarkan kritik terhadap
pembaca-pembaca yang terlalu cepat teruja dengan artikel-artikel nasihat yang
ada di alam maya, lalu melakukan ‘share’ & ‘tag’ untuk berdebat dengan
rakan-rakan.
Perkara pertama
yang kita perlu pegang, tak semua orang boleh capai keputusan yang sama dengan
menggunakan jalan kira yang sama. Falsafah ini kita ambil dari dunia matematik yang
membuktikan bahawa, untuk mencari satu
nilai berdigit, tidak semestinya menggunakan formula bahkan jalan kira yang
sama. Ironinya, artikel-artikel yang berlegar di alam maya ini, sedikit pun
tidak menyediakan ruang berfikir sebegini terhadap pembaca.
Sebagai pembuka
cerita, apa kata kita mulakan dengan pinjaman Amanah Saham. Terdapat sekelompok
pemain pelaburan ini, begitu ghairah menyebarkan tips ini untuk membeli rumah
yang banyak. Hinggakan ada dalam kalangan mereka, dengan penuh yakin
mengisytiharkan bahawa mereka sudah memiliki 25 buah rumah pada usia 27 tahun.
Gila! Gila bukan? Kerana apa? Kerana kita yang sudah mencecah usia tersebut
pun, masih sesak nafas untuk hidup dalam ruang legar ekonomi sebegini. Namun,
yang menjadi mangsanya siapa? Siswa siswi yang begitu optimis ingin mencapai
perkara yang sama setelah mereka bergraduasi kelak!
Ya, bahkan ‘fresh
grad’ adalah prospek bisnes yang menjadi keutamaan oleh mana-mana pemain industri.
Kerana mereka tahu, dengan pengalaman yang cetek dan keghairahan ingin
merasakan keseronokan hidup setelah bersusah payah belajar, berikut adalah
titik-titik kelemahan yang mudah untuk mereka ambil kesempatan:
1.
Sijil Kelayakan:
Sebelum ‘grad’ pun, satu bentuk bisnes pendidikan
telah menjajah muda-mudi kita. Sebuah ‘mental setup’ dibentuk , bahawa sijil
pendidikan yang kita dapat, bakal menjamin gaji yang selesa. Akhirnya, wujud
satu pihak yang menawarkan pinjaman pendidikan. Ya, ada biasiswa, tapi usahlah
cerita benda yang sedikit. Kerana perjuangan kita adalah untuk massa. Bahkan
dalam kegawatan ekonomi, serta persaingan yang pesat, masih ada pelajar
cemerlang yang tidak menerima biasiswa.
Lebih malang lagi apabila pelajar masuk ke kolej-kolej
swasta yang menawarkan yuran berganda lebih mahal. Hasil daripada fenomena ini,
setiap graduan akan keluar universiti dan masuk ke dalam masyarakat dengan defisit
wang poket / simpanan sebanyak 32k. Nah, sekarang beritahu pena, di mana
logiknya mampu beli 25 biji rumah pada usia bawah 30 tahun?
2.
Pengalaman & Kenderaan:
‘Fresh grad’ memerlukan kenderaan. Tidak cukup ‘fresh
grad’ diwajibkan majikan untuk memiliki
pengalaman, majikan juga wajibkan mereka untuk memiliki kenderaan untuk
memudahkan urusan kerja. Bahkan jika tiada dua elemen ini (pengalaman dan
kenderaan) bisa sahaja calon temuduga itu tidak terpilih untuk jawatan
tersebut.
Melihat titik kelemahan seperti ini, akhirnya industri
menawarkan perlatihan industri dengan kadar bayaran gaji yang sangat rendah,
bahkan ada yang tidak memberi bayaran langsung. Ini cukup menguntungkan kerana
kerja mereka selesai tanpa sebarang kos! Sedangkan kerja yang kita lakukan itu,
sama sahaja dengan apa yang dilakukan oleh pemegang ‘degree’.
Manakala untuk memiliki kereta pula, pelbagai tawaran ‘graduan
muda’ diwujudkan dengan pemilikan kereta pada kadar sifar deposit yang
sebenarnya mencipta lebih keuntungan industri, bahkan bakal menjerut leher
graduan yang tidak punya kerjaya tetap lagi.
3.
Hartanah:
Melihat trend di atas, pemain industri hartanah mula
tidak senang duduk. Cuba bayangkan, prospek paling penting ini telahpun
menghabiskan wang mereka sekurang-kurangnya 100k bertukar menjadi satu bentuk
hutang yang akhirnya menjadikan industri hartanah adalah yang paling perlahan
mendapat keuntungan.
Oleh itu, satu ledakan artikel hartanah telah
diletuskan bagi menahan wang gaji ‘fresh grad’ daripada dihanguskan untuk
membeli kenderaan. Apa yang positifnya, ia mampu memberi tekanan terhadap industri
automotif yang mengenakan cukai 200% hingga menjadikan kenderaan tempatan juga
dijual pada harga yang tidak masuk akal. Bahkan sikap ‘fresh-grad’ yang ghairah
membeli kereta mahal juga Berjaya dibendung. Namun, persoalannya sekarang,
adakah industri hartanah manawarkan harga yang masuk akal? (gelak
sendiri-sendiri).
4.
Pelaburan & Takaful:
Tersepit antara ‘rumah & kereta’, muncul pula
pemain industri yang menawarkan satu opsyen lain sebagai samada pelengkap / keutamaan
terhadap dua pilihan di atas. Berbalik kepada cerita mula kita tadi, ASNB
merupakan antara instrumen pelengkap untuk membeli rumah. Manakala dalam
beberapa keadaan, agen takaful dan unit trust pula banyak mempromosikan produk
mereka sebagai keutamaan yang perlu dipotong daripada gaji terlebih dahulu
sebelum menghabiskannya untuk ‘kereta & rumah’. Disebabkan itu, maka
lahirlah artikel-artikel yang menyarankan agar ‘membeli kereta terpakai’ dan ‘tidak
mengapa sewa rumah seumur hidup’.
5.
Bisnes:
Titik kelemahan terakhir yang pena boleh sebutkan
adalah, pekerjaan kedua. Dalam keadaan ekonomi yang meleset disebabkan kerajaan
yang korup serta rakyat yang lena, akhirnya muncul pula artikel-artikel optimis
yang menyarankan agar kita ‘bermutasi’ mengikut keadaan sekeliling tanpa perlu
menghiraukan terhadap perjuangan politik. Kata mereka, ‘fresh grad’ perlu
melakukan dua kerja untuk tambah pendapatan. (gelak sendiri-sendiri).
Cuba bayangkan sendiri, dalam waktu negara maju
memperjuangkan 6 jam bekerja, kita yang perasan maju ni sibuk nak suruh buat
dua kerja. Dan ini akhirnya akan member kesan terhadap gerakan sivil
(kemasyarakatan) yang lebih lesu kerana setiap orang sibuk menjaga periuk nasi
masing-masing hingga mengabaikan keluarga, remaja, alam sekitar, & gerakan
politik.
Dalam keadaan tertekan sebegini, muncul pula pemain industri
‘bisnes’ yang sibuk manawarkan kerja-kerja pengedar terhadap produk mereka.
Samada mengedar produk jenama mereka, atau yang terbaru, mengedar produk mereka
dengan menggunakan jenama sendiri. Lubuk ini juga sayangnya, telah dimanipulasi
oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menyediakan skim bisnes tanpa produk
yang telah banyak menipu muda belia.
Oleh itu, perkara
kedua yang kita perlu pegang adalah, perlu sentiasa tanamkan dalam diri, mesti
ada perkara yang pemberi nasihat sorokkan! Ya, mesti ada aspek yang penulis
artikel tidak maklumkan pada anda. Setakat pengalaman pena dalam meminta
nasihat orang, kebanyakan mereka akan menyorokkan beberapa aspek agar saranan
dan tips mereka kelihatan pelik tapi menarik. Teknik ini sememangnya sudah
terkenal dalam kalangan agen-agen.
Dalam kalangan
mereka, ada yang mewarisi harta pesaka yang banyak. Ada pula yang hanya
bergambar dengan produk atau wang yang bukan milik mereka. Bahkan ada yang
bergambar di rumah dan kereta mewah, tapi apabila diminta tunjukkan geran,
mereka mengelak. Begitu juga perihalnya dengan perlancongan dan lain-lain.
Sebahagian mereka memang hadir dengan niat menipu. Sebahagian lain pula hanya
terlalu licik dalam mencuri perhatian. Jadi tidak hairanlah, dengan ‘hidden
item’ sebegini, apabila kita ukur
kembali ke badan sendiri, terasa sangat mustahil untuk capai apa yang mereka capai.
Pena tidak
berniat untuk mengambil sikap anti-establishment. Kerana itu pena tajukkan
artikel ini menggunakan perkataan ‘tertipu’, bukan ‘ditipu’. Kerana setiap
mereka di atas membawa sisi-sisi kebaikan juga terhadap kesedaran pembaca. Namun
sikap kita sebagai pembaca, yang terlalu teruja untuk mencuba tips-tips
daripada mereka, hingga menyebabkan sebahagian kita tertipu dalam keadaan tidak
sengaja sebenarnya. Dalam keadaan ini, kita nak salahkan mereka pun tak guna.
Kerana yang silap adalah diri kita sendiri.
Terlalu banyak titik
kelemahan ‘fresh grad’ yang ingin pena kupas. Namun artikel yang terlalu
panjang bisa membantutkan semangat pembaca. Setakat ini sahaja dulu untuk kali
ini. Jika mendapat sokongan dan desakan, pena akan bergerak lagi untuk sambung
kupasan lanjut.
No comments:
Post a Comment