Monday, 27 October 2014

Memberi Hak Ilmu, Sesuai Dengan Pakarnya

Kerdilnya Insan

Setiap kita adalah pakar dalam bidang tertentu. Pada waktu yang sama, kita juga adalah 'awwam (bukan pakar) dalam suatu bidang yang lain. Inilah lumrah kehidupan. Barangkali kita mahir lebih daripada 1 bidang, namun kita perlu terima hakikat, masih ada bidang yang kita tidak mahir. Ini secara tidak langsung, merupakan 1 signal yang sangat jelas bagaimana kerdil & lemahnya manusia dalam menguasai ilmu Allah yang sangat luas ini.




Simple Tapi Sukar Difahami

Hidup di era moden yang pesat dengan ledakan maklumat, pastinya fenomena ini merupakan sesuatu yang biasa. Ianya dilalui oleh semua kelompok manusia yang hidup pada zaman ini. Lihat sahaja bila paip bocor, internet bermasalah, kereta rosak, masak kenduri, semuanya kita panggil & upah pakar-pakar berkemahiran untuk selesaikannya. Tidak seperti dahulu, semua kerosakan rumah & kenderaan dibaiki sendiri oleh atuk & ayah kita.

Keadaan ini terjadi kerana masalah yang dihadapi kini menjadi semakin kompleks. Maka kajian & kaedah penyelesaian juga terpaksa dirincikan. Lalu tercetusnya compartmentalization of knowledge, di mana ilmu mula dikotak-kotakkan mengikut bidang yang lebih specific. Siswa siswi mula dilatih untuk mengusai sesuatu bidang secara mendalam sambil ditinggalkan penguasaan dalam bidang-bidang lain. Ini dapat dilihat misalnya pada sijil pengajian ilmu syari'ah di UIAM. Jika dulu hanya tertulis 'Sarjana Muda : Ilmu Wahyu & Warisan', kini sudah berbeza dengan ungkapan 'Sarjana Muda : Ilmu Wahyu & Warisan (Fiqh & Usul Fiqh)'. Kerana itu kita dapat lihat, tokoh-tokoh sarjanawan terdahulu mampu bercakap dalam pelbagai bidang secara mendatar. Berbeza dengan sarjana kini yang mampu bercakap dalam 1 bidang sahaja, namun secara mendalam. Hasilnya kita dapat lihat, tak semua asatizah (ustaz-ustazah) yang mampu menjawab isu-isu berkaitan perbankan Islam.





Namun, basic principles seperti ini terkadang sukar difahami 'awwam dalam berhadapan dengan masalah-masalah berkenaan agama.


Memandang Rendah Pengajian Agama

Apabila dikaji, mengapa 'awwam tidak mampu meletakkan sikap yang sama pada graduan agama seperti mana mereka mensikapi graduan kedoktoran, ia berpunca daripada persepsi negatif mereka terhadap pengajian agama. Mereka fikir bahawa pengajian agama adalah mudah. Tidak seperti bidang kedoktoran yang mempunyai pelbagai cabang. Hinggakan apabila kita pergi mendapatkan rawatan, pihak hospital akan merujuk masalah kita sesuai dengan pakarnya. Seorang pakar jantung tidak dibenarkan untuk membuat pembedahan mata, begitu juga sebaliknya. Setahap itu berdisiplinnya mereka dalam bidang perubatan. Semua ini demi menjamin agar penyakit itu diubati dengan baik. Namun apabila sampai kepada isu agama, kita seolah-olah beranggapan bahawa seorang ustaz mampu menjawab semua kemusykilan agama. Tak masuk aqal!


Memahami Kompleksnya Syari'ah

Kita sering mendengar ungkapan "Agama Itu Mudah". Ya, benar. Terdapat sekumpulan dalil yang menjurus untuk menerangkan bahawa diturunkan agama ini adalah untuk memudahkan urusan manusia. Namun ungkapan ini bukan tiket untuk kita mengambil mudah atau memandang enteng urusan agama.

Terdapat 1001 subjek dalam bidang agama. Masing-masing dikategorikan mengikut bidang masing-masing. Fiqh dengan fiqhnya, usuluddin dengan usuluddinnya. Bahkan dalam bidang fiqh, terdapat pula pecahan-pecahan lain seperti kepakaran dalam bidang ibadah, kehakiman, ilmu maqasid dan lain-lain! Semua ini perlu dilalui oleh seorang graduan syari'ah dalam rangka mereka ingin memahami & mengusai ilmu syari'ah yang sangat luas ini. Daripada sini kelak, merekalah yang bertanggungjawab untuk menyampaikan isi agama ini dalam bentuk yang lebih mudah kepada 'awwam. Ibarat membuat kek, perlukan kesabaran & ketepatan ramuan, namun untuk memakannya, mudah sahaja.




Kesimpulan

Oleh itu, hendaklah kita menukar paradigma kita terhadap agama ini & pemain-pemain di dalamnya. Tidak boleh lagi kita mempunyai mind-setting seperti dulu-dulu. Era di mana seorang ustaz kampung dipandang tinggi kerana mampu menyelesaikan semua masalah orang kampung. Dialah yang memberi nama kepada anak-anak yang baru lahir. Dia jugalah yang menyembelih lembu. Dia juga yang mengkhatankan budak-budak lelaki. Dia jugalah yang membantu golongan miskin. Pendek kata, semuanya dia.

Namun kini tidak lagi. Isu-isu seperti saham & perbankan yang patuh syari'ah perlu dirujuk kepada pakar yang bertauliah. Isu-isu hadis perlu diceduk daripada muhaddith (pakar hadis). Kemusykilan ayat alQuran pula dirujuk kepada mufassir (pakar tafsir). Masalah khilaf hukum dirujuk kepada usuliyyin (pakar usul fiqh). Dan begitulah seterusnya.

Apabila kita memahami situasi ini, barulah kerjasama di antara mufti & mustafti (yang bertanya & yang menjawab pertanyaan) dapat digabung-jalin dengan baik. Masing-masing daripada mereka perlu mengikuti disiplin ilmu yang betul. Si yang bertanya perlu menapis maklumat yang dia dapat dengan cara memastikan bahawa jawapannya benar-benar datang daripada pakar sebelum disebarkan kepada khalayak. Manakala orang yang memberi jawapan pula perlu jujur dalam memberi jawapan dan tidak bersikap ego untuk mengakui kelemahan diri apabila tidak mampu menjawab.

Jika ini berlaku dengan harmoni, tidak akan wujud lagi fenomena ta'sub & ghuluw dengan guru masing-masing. Tidak ada lagi masalah pergaduhan bila pihak A keluarkan ijtihad, pihak B tidak bersetuju kerana hujjah yang tidak kukuh, kemudian pihak A bersikap merendah-rendahkan guru pihak B. Sedangkan pihak B lebih pakar daripada pihak A dalam masalah tersebut. Ilmu dibahas ilmu, pakar bertemu pakar. Baru kena lawannya.



Untuk itu, marilah kita bersama-sama memahami isu ini dengan baik. Berikanlah hak ilmu sesuai dengan asatizahnya, seperti mana kita memberi hak penyakit sesuai dengan doktornya. Atau jika tidak, kita akan terus menzalimi diri sendiri.

Fahami. Hayati. Amal.

No comments:

Post a Comment