Monday, 26 September 2016

Apa Ertinya Lelaki Ketua Keluarga?

Lelaki yang menguruskan kewangan.
Lelaki yang menentukan halatuju pendidikan.
Lelaki yang menjadi qudwah.
Lelaki yang menjadi rujukan dalam membuat keputusan.

Dan untuk mendapatkan lelaki seperti ini, ukurlah ia berdasarkan ilmunya.

Mesra Surau & Masjid

Nasihat saya buat pemuda yang bersemangat Islah,

Jika didapati masjid atau surau yang kita kunjungi itu tidak selari dengan kefahaman Islam kita, jangan cepat melenting. Jangan cepat merajuk & berhenti kunjungi tempat tersebut. Itulah medan dakwah kita.

Tempat di mana terujinya akhlak & budi kita. Kalau surau & masjid pun kita nak berkeras, memang jelas kita ada masalah seni pergaulan dengan masyarakat. Tak malu mengaku agen Islah kalau perangai begini?

Survival Keluarga

Di sebalik keberlangsungan keluarga yang bertahun lama bertahan, tersorok 1001 toleransi. Baik daripada pihak isteri, suami, atau anak².

Tanpa toleransi, keluarga boleh musnah bila-bila masa. Bayangkan, dalam keluarga kecil ini sahaja, keperluan toleransi tidak boleh dinafi. Bagaimana pula dalam konteks bernegara?

Garis Halus Antara Professional dengan Sifat Berkira²

Setiap kali saya uruskan kewangan keluarga, saya selalu duk peringat,

Bahawa menyatakan angka dengan penuh teliti itu bukan amalan berkira. Tapi ia adalah professionalisme yang dituntut dalam agama. Setiap angka yang teliti catatannya akan dihitung pahala. Manakala angka yang tidak tepat & tidak telus, boleh jatuh ke lembah dosa. Ianya ibadah yang memerlukan juhud.

Dalam banyak keadaan saya anjurkan transaksi kewangan dalam keluarga dilakukan secara atas talian. Ada rekod. Mudah rujuk. Main sorok² bawah tangan ni dulu² boleh la.

Ingat, urus tadbir yang cekap itu, bermula daripada organisasi paling kecil, namanya keluarga.

Friday, 23 September 2016

Kalau Bab Agama, Tak Tahu Takpe



Saya memiliki masa yang sangat singkat untuk menerangkan tajuk ini. Harapnya dengan maqalah ringkas ini, berjaya untuk menyampaikan mesej kepada pembaca dengan dengan kefahaman yang sempurna.

Kebelakangan ini kita disajikan dengan filem yang menyentuh bidang kerjaya yang pelbagai. Saya fikir ini adalah perkembangan yang bagus. Jika tidak, dahulu kita hanya disajikan dengan profession guru dan ahli perniagaan sahaja. Pendedahan yang semakin luas ini semestinya memberi idea cita-cita kerjaya yang lebih luas kepada anak muda.

Bagaimana pun, masyarakat yang kini sangat mudah meluahkan pandangan & perasaan di laman sosial, banyak mengkritik mengenai pembawakan watak & tugasan profession tersebut yang dilihat salah & jauh tersasar daripada reality sebenar. Kadang-kadang lucu juga kita baca komentar mereka yang sangat emosional.

Cuma, scenario ini mengingatkan saya kepada watak-watak lebai atau ahli agama yang sebelum ini terlebih dahulu dimainkan di kaca-kaca televisyen. Dalam siri-siri watak tersebut, ada yang tak pandai mengaji, ada yang pasang audio ketika mengaji, ada yang tatacara solatnya salah. Lebih lucu apabila mereka menyebut kalimah Arab dengan tidak fasih.

Namun kritikan terhadap pembawakan watak-watak ini tidaklah sekencang bidang professional yang lain. Kenapa? Kerana mentaliti ‘Kalau Bab Agama, Tak Tahu Takpe’ telah berakar umbi dalam kalangan kita. Lagi pun, kalau pendakwah kritik orang tak tahu agama, mereka ini akan dipanggil malaikat. Tapi kalau pendakwah atau ustaz tak tahu undang-undang atau perubatan, mereka digelar bodoh dengan begitu mudah.

Kebelakangan ini juga banyak pendedahan & penerangan mengenai hartanah dan teknikal permodalan terkawal diterangkan di laman sosial. Dalam usaha menjentik penulisan-penulisan tersebut, sengaja saya tanyakan soalan-soalan bodoh. Akhirnya saya dimaki kerana kurang membaca. Tapi pernah tak orang yang gagap tilawah, dimaki sedemikian? Sedangkan antara al-Quran dengan buku, mana yang lebih utama untuk dibaca? Mana yang lebih patut kita malu? Gagap tilawah, atau lemah perbahasan kewangan?

Baru-baru ini juga, muncul satu sosok penceramah agama mempertikaikan kelompok yang selalu bertanyakan dalil. Dia cabar audien beri dalil solat. Mesej yang dia cuba sampaikan adalah, ‘Kalau Bab Agama, Tak Tahu Takpe’. Kerana ikut-ikut sahaja sudah cukup. Persoalannya, benarkah cukup dengan ikut-ikut sahaja dalam agama?

Tak banyak mesej yang saya nak ketengahkan dalam isu ini melainkan terhad kepada 3 perkara berikut:

1.       Bila orang tak tahu bidang kita, janganlah berkeras dalam memberikan penerangan. Kita pun tak tahu bidang mereka. Ingatlah, ilmu yang kita dapat itu, kalau Allah tak rezekikan, kita pun takde masa nak kaji.

2.       Jika kita melihat ilmu dunia itu penting, maka selaraskan lah ia dengan ilmu akhirat atau ilmu agama. Mengapa double standard? Bukankah akhirat tempatnya destinasi kita yang abadi?

3.       Berhentilah mengamalkan agama, secara ikut-ikutan. Para sahabat yang memiliki pengalaman menganut agama lain pun tak berani nak reka cipta keimanan serta amalan baru setelah masuk Islam. Ingat mudahkah untuk membangunkan satu jenama agama baru ditengah-tengah agama yang senior. Rasulullah (selawat) telah  bertungkus-lumus mengekalkan identity agama ini. Mengapa kita dengan mudah ingin mengubahnya atau menerima amalan lama yang tidak sahih diriwayatkan oleh Rasulullah (selawat)?

Friday, 9 September 2016

2 Formula Elak Tertipu : Jangan Cepat Terima Saranan Orang




Zaman ledakan maklumat sudah sampai pada kemuncaknya apabila orang-orang baik mula memenuhi ruang maya ciptaan manusia ini. Jika dahulu kita begitu takut untuk mendekati alam maya ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus ke arah perkara-perkara mafsadah (kerosakan), kini tidak lagi. Ia seolah satu kawajipan bagi kita untuk mengambil ilmu-ilmu yang tidak dapat dicari dalam cetakan fizikal, tetapi ditaip secara maya. Dengan perubahan besar ini, hari ini kita dapat lihat laman-laman web yang memberi tips yang pelbagai, tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Petua atau nasihat-nasihat tersebut meliputi pelbagai aspek seperti perkahwinan, pendidikan anak-anak, ekonomi, perlancongan, dan lain-lain.

Artikel ini juga tidak terlepas daripada konsep memberi nasihat. Namun pena kali ini cuba melontarkan  kritik terhadap pembaca-pembaca yang terlalu cepat teruja dengan artikel-artikel nasihat yang ada di alam maya, lalu melakukan ‘share’ & ‘tag’ untuk berdebat dengan rakan-rakan.

Perkara pertama yang kita perlu pegang, tak semua orang boleh capai keputusan yang sama dengan menggunakan jalan kira yang sama. Falsafah ini kita ambil dari dunia matematik yang membuktikan bahawa, untuk  mencari satu nilai berdigit, tidak semestinya menggunakan formula bahkan jalan kira yang sama. Ironinya, artikel-artikel yang berlegar di alam maya ini, sedikit pun tidak menyediakan ruang berfikir sebegini terhadap pembaca. 

Sebagai pembuka cerita, apa kata kita mulakan dengan pinjaman Amanah Saham. Terdapat sekelompok pemain pelaburan ini, begitu ghairah menyebarkan tips ini untuk membeli rumah yang banyak. Hinggakan ada dalam kalangan mereka, dengan penuh yakin mengisytiharkan bahawa mereka sudah memiliki 25 buah rumah pada usia 27 tahun. Gila! Gila bukan? Kerana apa? Kerana kita yang sudah mencecah usia tersebut pun, masih sesak nafas untuk hidup dalam ruang legar ekonomi sebegini. Namun, yang menjadi mangsanya siapa? Siswa siswi yang begitu optimis ingin mencapai perkara yang sama setelah mereka bergraduasi kelak!

Ya, bahkan ‘fresh grad’ adalah prospek bisnes yang menjadi keutamaan oleh mana-mana pemain industri. Kerana mereka tahu, dengan pengalaman yang cetek dan keghairahan ingin merasakan keseronokan hidup setelah bersusah payah belajar, berikut adalah titik-titik kelemahan yang mudah untuk mereka ambil kesempatan:

1.       Sijil Kelayakan:

Sebelum ‘grad’ pun, satu bentuk bisnes pendidikan telah menjajah muda-mudi kita. Sebuah ‘mental setup’ dibentuk , bahawa sijil pendidikan yang kita dapat, bakal menjamin gaji yang selesa. Akhirnya, wujud satu pihak yang menawarkan pinjaman pendidikan. Ya, ada biasiswa, tapi usahlah cerita benda yang sedikit. Kerana perjuangan kita adalah untuk massa. Bahkan dalam kegawatan ekonomi, serta persaingan yang pesat, masih ada pelajar cemerlang yang tidak menerima biasiswa.

Lebih malang lagi apabila pelajar masuk ke kolej-kolej swasta yang menawarkan yuran berganda lebih mahal. Hasil daripada fenomena ini, setiap graduan akan keluar universiti dan masuk ke dalam masyarakat dengan defisit wang poket / simpanan sebanyak 32k. Nah, sekarang beritahu pena, di mana logiknya mampu beli 25 biji rumah pada usia bawah 30 tahun?

2.       Pengalaman & Kenderaan:

‘Fresh grad’ memerlukan kenderaan. Tidak cukup ‘fresh grad’  diwajibkan majikan untuk memiliki pengalaman, majikan juga wajibkan mereka untuk memiliki kenderaan untuk memudahkan urusan kerja. Bahkan jika tiada dua elemen ini (pengalaman dan kenderaan) bisa sahaja calon temuduga itu tidak terpilih untuk jawatan tersebut.

Melihat titik kelemahan seperti ini, akhirnya industri menawarkan perlatihan industri dengan kadar bayaran gaji yang sangat rendah, bahkan ada yang tidak memberi bayaran langsung. Ini cukup menguntungkan kerana kerja mereka selesai tanpa sebarang kos! Sedangkan kerja yang kita lakukan itu, sama sahaja dengan apa yang dilakukan oleh pemegang ‘degree’.

Manakala untuk memiliki kereta pula, pelbagai tawaran ‘graduan muda’ diwujudkan dengan pemilikan kereta pada kadar sifar deposit yang sebenarnya mencipta lebih keuntungan industri, bahkan bakal menjerut leher graduan yang tidak punya kerjaya tetap lagi.

3.       Hartanah:

Melihat trend di atas, pemain industri hartanah mula tidak senang duduk. Cuba bayangkan, prospek paling penting ini telahpun menghabiskan wang mereka sekurang-kurangnya 100k bertukar menjadi satu bentuk hutang yang akhirnya menjadikan industri hartanah adalah yang paling perlahan mendapat keuntungan.

Oleh itu, satu ledakan artikel hartanah telah diletuskan bagi menahan wang gaji ‘fresh grad’ daripada dihanguskan untuk membeli kenderaan. Apa yang positifnya, ia mampu memberi tekanan terhadap industri automotif yang mengenakan cukai 200% hingga menjadikan kenderaan tempatan juga dijual pada harga yang tidak masuk akal. Bahkan sikap ‘fresh-grad’ yang ghairah membeli kereta mahal juga Berjaya dibendung. Namun, persoalannya sekarang, adakah industri hartanah manawarkan harga yang masuk akal? (gelak sendiri-sendiri).

4.       Pelaburan & Takaful:

Tersepit antara ‘rumah & kereta’, muncul pula pemain industri yang menawarkan satu opsyen lain sebagai samada pelengkap / keutamaan terhadap dua pilihan di atas. Berbalik kepada cerita mula kita tadi, ASNB merupakan antara instrumen pelengkap untuk membeli rumah. Manakala dalam beberapa keadaan, agen takaful dan unit trust pula banyak mempromosikan produk mereka sebagai keutamaan yang perlu dipotong daripada gaji terlebih dahulu sebelum menghabiskannya untuk ‘kereta & rumah’. Disebabkan itu, maka lahirlah artikel-artikel yang menyarankan agar ‘membeli kereta terpakai’ dan ‘tidak mengapa sewa rumah seumur hidup’.

5.       Bisnes:

Titik kelemahan terakhir yang pena boleh sebutkan adalah, pekerjaan kedua. Dalam keadaan ekonomi yang meleset disebabkan kerajaan yang korup serta rakyat yang lena, akhirnya muncul pula artikel-artikel optimis yang menyarankan agar kita ‘bermutasi’ mengikut keadaan sekeliling tanpa perlu menghiraukan terhadap perjuangan politik. Kata mereka, ‘fresh grad’ perlu melakukan dua kerja untuk tambah pendapatan. (gelak sendiri-sendiri).

Cuba bayangkan sendiri, dalam waktu negara maju memperjuangkan 6 jam bekerja, kita yang perasan maju ni sibuk nak suruh buat dua kerja. Dan ini akhirnya akan member kesan terhadap gerakan sivil (kemasyarakatan) yang lebih lesu kerana setiap orang sibuk menjaga periuk nasi masing-masing hingga mengabaikan keluarga, remaja, alam sekitar, & gerakan politik.

Dalam keadaan tertekan sebegini, muncul pula pemain industri ‘bisnes’ yang sibuk manawarkan kerja-kerja pengedar terhadap produk mereka. Samada mengedar produk jenama mereka, atau yang terbaru, mengedar produk mereka dengan menggunakan jenama sendiri. Lubuk ini juga sayangnya, telah dimanipulasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab menyediakan skim bisnes tanpa produk yang telah banyak menipu muda belia.

Oleh itu, perkara kedua yang kita perlu pegang adalah, perlu sentiasa tanamkan dalam diri, mesti ada perkara yang pemberi nasihat sorokkan! Ya, mesti ada aspek yang penulis artikel tidak maklumkan pada anda. Setakat pengalaman pena dalam meminta nasihat orang, kebanyakan mereka akan menyorokkan beberapa aspek agar saranan dan tips mereka kelihatan pelik tapi menarik. Teknik ini sememangnya sudah terkenal dalam kalangan agen-agen.

Dalam kalangan mereka, ada yang mewarisi harta pesaka yang banyak. Ada pula yang hanya bergambar dengan produk atau wang yang bukan milik mereka. Bahkan ada yang bergambar di rumah dan kereta mewah, tapi apabila diminta tunjukkan geran, mereka mengelak. Begitu juga perihalnya dengan perlancongan dan lain-lain. Sebahagian mereka memang hadir dengan niat menipu. Sebahagian lain pula hanya terlalu licik dalam mencuri perhatian. Jadi tidak hairanlah, dengan ‘hidden item’  sebegini, apabila kita ukur kembali ke badan sendiri, terasa sangat mustahil untuk capai apa  yang mereka capai.

Pena tidak berniat untuk mengambil sikap anti-establishment. Kerana itu pena tajukkan artikel ini menggunakan perkataan ‘tertipu’, bukan ‘ditipu’. Kerana setiap mereka di atas membawa sisi-sisi kebaikan juga terhadap kesedaran pembaca. Namun sikap kita sebagai pembaca, yang terlalu teruja untuk mencuba tips-tips daripada mereka, hingga menyebabkan sebahagian kita tertipu dalam keadaan tidak sengaja sebenarnya. Dalam keadaan ini, kita nak salahkan mereka pun tak guna. Kerana yang silap adalah diri kita sendiri.

Terlalu banyak titik kelemahan ‘fresh grad’ yang ingin pena kupas. Namun artikel yang terlalu panjang bisa membantutkan semangat pembaca. Setakat ini sahaja dulu untuk kali ini. Jika mendapat sokongan dan desakan, pena akan bergerak lagi untuk sambung kupasan lanjut.

Wednesday, 29 October 2014

Merungkai Konflik 'Aqidah Dengan Doa

Pengalaman Mengenali Salafi vs Ash'ari



Apabila berada di peringkat pengajian tinggi, isu 'aqidah menjadi semakin hangat. Masih segar di ingatan, seorang sahabat datang mendekat dan bertanyakan sekiranya ustaz yang sedang mengajar kelas kami itu adalah daripada kalangan Ahlus Sunnah? Saya yang ketika itu mempunyai 'aqidah yang sangat suci, tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh sahabat tadi. Ketika itu, saya lebih berminat dengan ilmu tafsir & hadis. Namun keadaan menjadi lebih menghairankan, masjid di tempat saya belajar juga tidak habis-habis menghentam Wahabi.



Selang setahun, apabila saya diberi peluang ke Makkah, barulah saya faham konflik yang berlaku di antara Salafi & Ash'ari. Saat itu fokus saya mula tertumpu kepada isu-isu 'aqidah. Kenangan di mana saya menghabiskan masa berdebat di laman sosial,  menghentam puak itu & ini, memberikan 1001 kenangan manis. Hinggalah saya sedar bahawa itu bukan maqasid (tujuan-tujuan) ilmu 'aqidah diajarkan. Jika dengan belajar 'aqidah menjadikan umat berpecah-belah, itu bukan tauhid namanya!


Merindui Zaman Hanif & Naif

Setelah sekian lama bergelumang dengan hiruk-pikuk pertelingkahan di waktu siang, sesekali malam kelihatan kusam. Terbawa-bawa emosi di waktu siang. Menjadikan baran hati mengusai diri. Akhirnya malam-malam yang berlalu tidak lagi dibasahi air mata. Lama-kelamaan, hati & jiwa semakin rindukan zaman di mana 'aqidah mengajar kita erti kebergantungan dengan tuhan. Mengajar erti bagaimana 'aqidah mengeratkan hubungan.



Kita tidak diajar cap orang itu sesat, Wahabi dan sebagainya. Yang kita diajar adalah biarpun berlainan bangsa & kedudukan geografi, semua yang se'aqidah adalah saudara! Kita diajar tentang keseimbangan antara usaha hamba & kuasa tuhan. Kita diajar agar berbaik sangka dengan Sang Pencipta. Kita diajar untuk taqarrub dengan Allah dengan cara bangun malam & bermunajat (berbisik-bisik dengan tuhan). Kerana merindui zaman hanif & naif inilah, idea ini dinukil.


Falsafah Doa Merangkumi Seluruh Aspek 'Aqidah

Jika ditanya dan diberi pilihan, apakah topik utama yang perlu difahami untuk menguasai 'aqidah islamiyyah, pasti jawabnya, "cukup dengan doa". Kerana memahami falsafah yang tersirat disebalik galakan berdoa, sudah cukup untuk memberi seorang penuntut ilmu mencapai tujuan asasi mempelajari 'aqidah.

Doa merupakan instrumen yang sangat penting bagi setiap agama dalam menghidupkan hubungan di antara hamba dengan tuhan. Sebuah agama yang mendakwa bahawa penganutnya tak perlu berdoa, adalah sebenarnya bukan sebuah agama! Masakan tidak, ajaran sesat juga menuntut pengikutnya untuk berdoa kepada pemimpin mereka. Apatah lagi sesuatu yang digelar agama!



Setiap agama mempunyai tatacara berdoa yang tersendiri. Buddha misalnya menggunakan colok ketika berdoa. Hindu pula menggunakan lilin. Kristian menggenggam kedua tangan sambil duduk atau melutut. Yahudi kelihatan mereka meratib kitab sambil mengadap dinding dalam keadaan berdiri. Islam pula lazim dengan menadah tangan, walaupun ianya mempunyai khilaf dari sudut wujudnya dalil yang jelas perihal menadah tangan ini.



Apa pun keadaannya, setiap agama mempromosi doa sebagai instrumen mendekatkan diri dengan tuhan. Cuma yang unik, Islam berdoa terus kepada tuhan tanpa perantaraan. Manakala agama lain lebih cenderung melantik pihak ketiga dalam proses doa mereka. Mengapa? Kerana itulah naluri manusia. Setiap cinta perlukan respon. Oleh itu, mereka melantik pihak ketiga demi memenuhi kehendak naluri yang sentiasa mengharapkan respon daripada pihak yang mereka cintai itu.


Bidang Kuasa Allah

Islam sangat luas dalam isu doa ini. Walaupun ada sebahagian kelompok mendakwa bahawa doa beramai-ramai itu bid'ah, saya tidak mahu membawa sidang pembaca ke dalam polemik fiqhiy (permasalahan berteraskan fekah) itu sekarang. Apa yang kita akan bahas sekarang adalah bagaimana cara ingin mengukuhkan 'aqidah dengan memahami kaedah berdoa dengan tepat melalui pemahaman bidang kuasa Allah.

Apa yang dimaksudkan dengan bidang kuasa? Bidang kuasa adalah ungkapan yang biasa digunakan dalam ilmu kehakiman di mana sesebuah mahkamah mempunyai bidang kuasa yang tertentu dalam sesuatu kes. Misalnya kes penjagaan anak-anak Muslim. Maka mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah syari'ah.

Begitulah juga perihalnya dengan Allah. Tapi sebentar! Ini bukan beerti Allah mempunyai kuasa yang terhad ke atas kita. Tidak sama sekali! Maha Suci Allah daripada sifat-sifat kelemahan tersebut! Dalilnya terlalu jelas bahawa Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu.



Baik, saya akan terangkan secara perlahan. Di samping dalil berkenaan Allah Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu & juga dalil masyhur berkenaan jika Allah berkehendak sesuatu, hanya menyebut jadi, maka jadilah. Dalil-dalil umum ini juga didatangkan bersama dalil-dalil khusus. Misalnya Allah menyusun sistem suria. Allah menetapkan undang-undang nubuwwah (kenabian) dan lain-lain sistem & peraturan yang terdapat di dalam alQuran & asSunnah. Kesemua ini menunjukkan bahawa, di bawah kekuasaan Allah yang Maha Luas itu, terdapatnya sistem & undang-undang yang Allah telah tetapkan, dan sebenarnya juga adalah dalam bidang kuasa Allah. Cumanya, Allah tidak memilih untuk melanggar undang-undang tersebut sehinggalah Allah berkehendakkan sedemikian.

Ini boleh diibaratkan seperti terma & syarat jualan dalam sesebuah syarikat. Pastinya syarikat berhak membubarkan mana-mana peraturan, namun sistem yang telah sedia dirangka akan dipatuhi oleh semua ahli syarikat termasuk tuan pengarah, demi memberi balance (keseimbangan & kesinambungan) kepada pergerakan syarikat. Jika tidak, ia akan merencatkan perkembangan syarikat.

Begitulah juga perihalnya apabila Allah menetapkan sistem suria; matahari berputar, bumi berpusing, Pluto itu sejuk, dan lain-lain. Begitu juga apabila Allah mengkhususkan api menjadi sejuk untuk Nabi Ibrahim sahaja, Rasulullah sebagai khatimul anbiya' (penutup segala Nabi), dan lain-lain. Maka kita sebagai hamba biasa, kita perlulah berdoa sesuai dengan undang-undang & peraturan Allah ini. Jika ingin bermain tenis, mana mungkin raket badminton digunakan.

Apabila kita memahami falsafah & konsep ini, maka seharusnya tidak terjadi lagi kes-kes seperti menuang air ke dalam tangki minyak kereta dan berdoa agar kereta mampu bergerak. Kerana itu berlawanan dengan undang-undang kejuruteraan yang telah Allah tetapkan! Begitu juga apabila kita mengharap stickers pelekat,  baik yang didakwa berteknologi nano atau telah dijampi; jika dilekatkan di penutup minyak kereta, ia mampu menjimatkan minyak. Ini benar-benar dusta & batil! Tapi sayang,  apabila ada agamawan yang menegur hal ini, terus dilabel liberal, tidak kukuh 'aqidah dalam bergantung harap kepada Allah. Sebetulnya siapa yang rosak 'aqidahnya?! Siapa yang memanipulasi kebergantungan seseorang terhadap Tuhan,  demi untuk mendapat keuntungan cepat?!


Doa Tepat, 'Aqidah Selamat

Sungguh, Allah itu Maha Luas bidang kuasanya. Mustahil terdapat kawasan yang tidak tercapai oleh Allah. Namun apabila kita memahami konsep ini, doa kita akan menjadi lebih tepat, bahkan 'aqidah kita akan menjadi lebih selamat. Seorang yang memahami bahawa Rasulullah adalah penutup segala nabi & rasul, pastinya takkan berdoa untuk menjadi rasul. Pastinya dia akan menyedari bahawa mimpi yang meng'itiraf dia sebagai rasul adalah mainan syaitan. Walaupun dia tahu, Allah berhak menjadikannya rasul, namun itu mustahil menurut undang-undang nubuwwah yang telah Allah tetapkan.



Hanya dengan memahami disiplin ini, kita dapat menyangkal hujjah kelompok-kelompok yang tidak habis-habis memanipulasi dalil umum bahawa Allah berkuasa atas setiap sesuatu ini untuk menghalalkan perbuatan batil mereka yang bertujuan jelas mendapatkan keuntungan demi kepentingan diri. Moga 'aqidah kita terus terpelihara. Ameen.